SoFhAh

Wednesday, November 23, 2016

SUAMI ISTERI YANG BERCERAI BERADA SEBUMBUNG


Assalamualaikum ustaz, ada 1 masalah, apabila mentalaq suami akan isterinya dengan 1 talaq, adakah blh duduk sebumbung rumah? Dan jikalau masih duduk sebumbung lagi tiba-tiba berlaku persetubuhan tanpa rujuk, adakah di kira rujuk apabila jatuh persetubuhan mereka itu,

Jawapan kami;

1. Apabila berlaku sesuatu perceraian maka haram bagi suami tinggal bersama-sama dengan bekas isterinya di dalam sebuah rumah atau masuk ke dalam rumah yang didiami bekas isterinya tanpa rujuk walaupun dalam iddah talak raj’i kerana dikhuatiri akan menjurus kepada perbuatan khalwat. Hal ini kerana, berkhalwat dengan bekas isteri tanpa rujuk seolah-oleh berkhalwat dengan perempuan ajnabiah (perempuan asing yang boleh dinikahi).

Walaubagaimanapun, sekiranya terdapat mahram kepada salah seorang daripada mereka bersama isteri berkenaan atau orang yang setaraf dengan mahram seperti isteri yang lain atau perempuan yang boleh dipercayai, maka suami diharuskan memasuki rumah tersebut dan duduk di situ. Begitu juga sekiranya rumah itu besar dan mempunyai bilik yang berasingan, tempat masak, tempat rehat, tempat lalu, pintu keluar masuk kesemuanya berasingan dan tidak boleh lalu-lalang di antara mereka dalam rumah itu disebabkan oleh dinding atau pintu yang telah dikunci atau dipaku, maka harus mereka tinggal di rumah itu. Namun hukumnya adalah makruh walaupun tanpa mahram. Oleh itu, sekiranya rumah berkenaan tidak menepati syarat-syarat tersebut seperti rumah itu mempunyai satu bilik sahaja maka pasangan yang bercerai itu tidak harus tinggal di rumah tersebut melainkan jika ada mahram.  Sehubungan itu, apabila seorang suami hendak tinggal bersama dengan bekas isterinya atau masuk ke tempat bekas isteri yang boleh membawa kepada khalwat yang diharamkan, maka isteri itu hendaklah mencegahnya mengikut kemampuannya (Raudhah al-Tolibin, I’anah al-Tolibin, Ahkam al-Iddah fi al-Islam).

2. Menurut ulamak Mazhab Syafi'i, rujuk hanya sah dilakukan dengan ucapan atau lafaz. Oleh itu, rujuk tidak sah hanya dengan perbuatan. Disebutkan oleh Imam al-Nawawi;

ولا تحصل بفعل كوطء

"Tidak terhasil ia (rujuk) dengan perbuatan seperti wati' (setubuh)."
اليسع
Wallahu a'lam.

USRAH SOLAT (Q&A IBADAT)
📝by:

https://telegram.me/usrah_solat_MSO

**Channel Usrah Solat MSO-D7 berdasarkan fiqh mazhab al-Syafi'i

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.